THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday 9 September 2010

Tiga kali meninggalkan sembahyang Juma'at akan dijadikan orang lalai dan munafik.

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhaanahu Wata’aalaa dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Hari Juma'at adalah penghulu segala hari, hari yang paling agung di sisi Allah. Pada hari Juma'at Nabi Adam 'Alaihissalaam dijadikan, dimasukkan ke dalam Syurga, dikeluarkan dari Syurga dan baginda wafat pada hari tersebut. Pada hari Jumaat terdapat satu ketika di mana tidak ada permintaan baik kepada Allah oleh seorang hamba yang muslim melainkan dimakbulkan permohonannya itu, balasan bagi perbuatan baik atau buruk pada hari tersebut digandakan dan pada hari itu juga akan berlakunya Hari Kiamat. Keistimewaan hari Juma'at ditambah lagi dengan pensyariatan solat Juma'at yang wajib dilaksanakan secara berjemaah bagi umat Islam yang mencukupi syarat-syaratnya.

Firman Allah di dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 9, tafsirnya :

" Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Juma'at, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan solat Juma'at dan tinggalkanlah berjual beli pada saat itu, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya .. "

Sesungguhnya ketegasan dan keprihatinan baginda Rasulullaah terhadap tuntutan solat Juma'at sangat jelas dan ketara ketika mana baginda pernah bercita-cita untuk membakar rumuh golongan yang tidak mengerjakan sembahyang Juma'at. Namun begitu solat Juma'at tidaklah diwajibkan jika berlaku halangan yang dibolehkan oleh syara' seperti ke'uzuran atau tidak dapat pergi ke masjid disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan sehingga menyukarkan mereka pergi ke masjid seperti hujan ribut, banjir, peperangan dan sebagainya. Walau bagaimanapun itu tidak bermakna solat Juma'at boleh dipandang ringan dan dicuaikan, bahkan baginda Rasulullah memberi amaran bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat Juma'at sebanyak tiga kali dengan sengaja tanpa sesuatu sebab, maka Allah akan menutup pintu hatinya dan dijadikan mereka orang-orang yang lalai dan munafik.

Tetapi nampaknya peringatan Allah itu diambil ringan oleh segelintir manusia sehingga ada yang sengaja tidak hadir solat Juma'at tanpa sebab. Dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam menegur dan memberi nasihat sesama Islam yang lain yang mengabaikan solat Juma'at lebih-lebih lagi jika yang mengabaikan itu anak-anak kita sendiri, sanak saudara atau orang-orang yang dikenali, kerana kita yakin nasihat dan teguran itu dapat merubah seseorang. Oleh itu kita jangan mudah lemah semangat kerana segan dan takut yang ditegur marah atau tersinggung maka kita rela membiarkan kesalahan dan kelalaian terus dilakukan.

Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam setiap amal ibadat itu ada adab-adabnya, begitulah juga dengan solat Juma'at. Dengan menyempurnakan adab-adab tersebut, kita akan beroleh pahala dan ibadat kita menjadi lebih sempurna.

Antara adab-adab tersebut ialah sebelum pergi ke masjid, kita disunatkan mandi terlebih dahulu, memakai wangi-wangian dan berpakaian yang terbaik. Dalam cara berpakaian, sudah tentu pakaian tersebut hendaklah terbaik dan bersih. Bagi kita orang Melayu kelazimannya berpakaian cara Melayu atau bergamis menjadi pilihan ketika solat dan adalah tidak munasabah kita menghadapi dengan berpakaian sekadar menutup aurat sahaja tanpa mengambil peduli apa yang hendak dipakai. Walaupun adab berpakaian bukanlah sebagai syarat sah atau tidak sembahyang tersebut, namun adalah lebih elok menghindarkan diri dari berpakaian sembarana seperti hanya memakai baju T atau T-Shirt lebih-lebih lagi yang mempunyai corak, gambar-gambar atau mengandungi perkataan-perkataan yang kurang elok, ataupun pakaian tersebut tidak bersih dan berbau sehingga boleh mengganggu kekhyusukan jema'ah lain untuk beribadah. Jangan hanya kelihatan cantik dan bersih apabila hendak berjumpa orang tertentu atau ketika menghadiri majlis saja, tetapi sewajarnyalah kita lebih cantik dan bersih ketika berhadapan dengan Allah.


Selain itu, kita disunatkan datang lebih awal ke masjid. Ketika hendak masuk masjid, jangan lupa berniat i'tikaf dan menunaikan solat Sunat Tahiyyatul-masjid. Sebenarnya banyak hikmat yang boleh kita perolehi jika datang awal ke masjid, di mana kita dapat beri'tikaf, membaca Al-Qur’an, berzikir, berselawat dan sebagainya. Dan ketahuilah bahawa balasan bagi orang-orang yang hadir untuk menunaikan solat Juma'at itu adalah berbeza berdasarkan awal atau akhirnya ia tiba ke masjid. Pada hari tersebut, setiap pintu masjid ada dua malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk ke masjid mengikut urutannya. Perumpamaan orang yang datang awal adalah bagaikan memperolehi pahala orang yang menyembelih korban seekor unta, kemudian seperti berkorban seekor sapi, kemudian seperti berkorban seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam dan kemudian seperti memberi sedekah sebiji telur. Apabila imam telah keluar naik ke mimbar, para malaikat pun menutup buku catatan mereka dan mendengar zikir yakni khutbah. Barang siapa yang datang selepas itu, maka pahalanya untuk sembahyang itu sahaja. Maka alangkah ruginya bagi orang yang akhir datang, kerana mereka bukan sahaja terlepas dari mendapat ganjaran bahkan juga tidak berkesempatan untuk membanyakkan ibadat, sedangkan pada hari Juma'at inilah sahaja peluang bagi sesetengah orang yang tidak berkesempatan untuk beri'tikaf dan beribadat di masjid pada hari-hari yang lain.

Perlu diingat bahawa apabila khatib berkhutbah, para jema'ah hendaklah mendengar dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap khutbah yang disampaikan, dengan berbuat demikian kita akan mendapat ganjaran daripada-Nya sekali gus memperolehi ganjaran pengampunan terhadap dosa-dosanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Rasulullah, baginda bersabda, maksudnya :

" Sesiapa yang mandi kemudian datang untuk solat Juma'at, lalu mengerjakan solat sunat semampunya, kemudian dia diam untuk mendengarkan khutbah sehingga khatib selesai berkhutbah, lalu solat Juma'at bersama imam, maka dia diberi keampunan terhadap dosa-dosanya yang ada di antara hari Juma'at itu dan hari Juma'at yang berikutnya dan ditambah lagi tiga hari .. " (Riwayat Al-Imam Muslim.)

Apa yang mendukacitakan, terdapat segelintir jema'ah tidak memberikan tumpuan terhadap khutbah yang disampaikan, ada yang leka bercerita, bahkan terdapat juga antara jemaah yang tidak sempat mendengar khutbah kerana lewat hadir ke masjid. Sikap sebeginilah perlu diubah, kita setentunya maklum bahawa dalam khutbah itu terdapat pengajaran dan peringatan untuk kita sama-sama muhasabah dan memperbaiki diri, maka sudah sewajarnya khutbah yang disampaikan hendaklah didengar, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan.

Selain dari itu, bagi menjaga kehormatan dan keharmonian masjid, para ibu bapa atau penjaga adalah dinasihatkan untuk menguasai dan memata-matai anak mereka supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu kekhusyukan para jema'ah lain untuk beribadat, seperti menasihatkan mereka supaya tidak berbuat bising, baibun dan sebagainya.

Marilah kita menunaikan solat Juma'at itu dengan sebaik-baiknya tanpa meninggalkan adab-adabnya, manfaatkanlah hari Juma'at yang hanya sekali dalam seminggu itu dengan amal ibadat bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan. Mudah-mudahan dengan demikian kita mendapat rahmat dari Allah. Amin yaa Rabbal-aalamiin.

Firman Allah dalam Surah Al Mu’minuun ayat 1 - 3, tafsirnya :

" Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna .. "

0 comments: