THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Tuesday 7 April 2009

Jong Batu & Lumut Lunting

Jong Batu, KapaL Layar Nakhoda Manis

Jong Batu, Kg. Ayer




Di antara kisah legenda yang ada di persekitaran Sungai Brunei ialah, Jong Batu. Menurut legenda Brunei, Jong Batu sebenarnya adalah sebuah kapal layar yang dipunyai oleh Nakhoda Manis iaitu seorang bangsawan Brunei yang telah belayar ke negara-negara lain untuk berniaga. Nakhoda Manis adalah anak kesayangan ibunya dan apabila Nakhoda Manis belayar meninggalkan Brunei, ibunya sentiasa bersedekah dan membuat kenduri agar Allah SWT memberi perlindungan kepada anaknya yang sedang belayar itu. Setelah sekian lama Nakhoda Manis belayar tanpa mengirimkan khabar berita, ibunya bertambah risau namun tidak putus-putus berdoa, bersedekah dan mengadakan kenduri sehingga ibunya jatuh miskin.





Lumut Lunting, Kg. Ayer



Lumut Lunting terletak di antara Pulau Sibungur dengan Pulau Berambang di kawasan Sungai Brunei. Lumut Lunting adalah merupakan legenda yang dikaitkan mengenai dengan kisah persabungan ayam di antara Brunei dengan Majapahit seperti yang terdapat dalam Syair Awang Semaun. Cerita persabungan ayam ini telah menjadi cerita lisan yang terkenal di kalangan masyarakat Brunei dan dipertuturkan daripada satu generasi ke satu generasi.


Menurut Syair Awang Semaun, ketika Brunei diperintah oleh Awang Alak Betatar, Batara Majapahit yang bernama Raden Angsuka Dewa telah datang ke Brunei untuk mengadakan perlawanan bersabung ayam. Raden Angsuka Dewa mempunyai seekor ayam sabung yang perkasa diberi nama Asmara dan telah banyak mengalahkan ayam sabung dari negeri-negeri yang lain. Mamandangkan di Brunei juga terdapat ayam sabung yang perkasa, dipunyai oleh Awang Senuai iaitu anak saudara Awang Alak Betatar. Ayam tersebut diberi nama Mutiara, maka Ratu Majapahit telah menyatakan kepada Raja Brunei untuk mengadakan perlawanan bersabung ayam.


Dalam perlawanan itu Betara Majapahit telah membuat pertaruhan iaitu jika ayamnya kalah, baginda akan menyerahkan 40 buah kapal serta isi harta di dalamnya kepada Raja Brunei dan sebaliknya jika ayam Raja Brunei kalah, Raja Brunei hendaklah menyerahkan sebahagian daripada wilayah kekuasaan baginda kepada Majapahit.


Dalam persabungan itu ayam Ratu Majapahit telah kalah dan terbang melarikan diri, lalu jatuh ke laut berdekatan dengan Pantai Muara dan seterusnya menjadi batu, dikenali dengan nama Pilong-Pilongan. Kekalahan ini menyebabkan Ratu Majahapit merasa malu dan murka lalu menyumpah Mutiara menjadi batu. Akibat sumpahan itu, Mutiara yang sedang terbang telah jatuh ke Sungai Brunei dan menjadi batu yang seakan-akan menjadi sebuah pulau kecil dan dikenali dengan nama Lumut Lunting. Kedua-dua tempat ini, Pulau Pilong-Pilongan dan Lumut Lunting masih kekal dan dapat dilihat sehingga sekarang.


Menurut cerita orang tua-tua, Lumut Lunting ini dipercayai boleh menjadi satu tanda alamat kepada Negeri Brunei, iaitu sekiranya akan berlaku sesuatu peristiwa yang mendukacitakan menimpa Negeri Brunei, menurut kepercayaan, pulau ini tiba-tiba akan ghaib atau hilang. Menurut cerita lain pula jika Lumut Lunting dilanda banjir, adalah juga dipercayai sebagai petunjuk bahawa sesuatu peristiwa yang mendukacitakan akan berlaku ke atas Negeri Brunei.


Bagaimanapun itu adalah sebagai kepercayaan sahaja semata-mata. Sesungguhnya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.

0 comments: